OKU sensasi YouTube

KOTA BHARU: Mohd Asyiff Suhaimi, 17, yang menghldap autlsme dan Muhammad Ashrul Hakim Lukman, 21, pemuda dengan masalah pembelajaran yang kini menjadi fenomena seluruh negara menerusi lakonan mereka dalam episod Drama Spontan di saluran YouTube bukanlah siapa-siapa sebelum ini.

Tidak seperti insan lain yang senasib dengan mereka, dua pemuda ini tidak mahu menjadikan status orang kelainan upaya (OKU) sebagai penghalang kejayaan mereka.

Kini mereka mempunyai jutaan peminat di seluruh negara malah sudah mampu memiliki pendapatan sendiri hasil titik peluh mereka.

Orang di sebalik kejayaan mereka adalah Muhammad Syahmi Sazli, 24, yang dianggap antara YouTuber yang cukup disegani di negara ini.

Muhammad Syahmi berjaya mencungkil bakat Mohd Asyiff dan Muhammad Ashrul Hakim menjadi pelakon dalam video pendek yang dihasilkan sehingga tular.

Mohd Asyiff atau lebih dikenali sebagai Asif adalah sepupu Muhammad Syahmi, manakala Muhammad Ashrul atau dikenali sebagai Yoe Parey ditemui selepas dilihat sering membuat siaran langsung di Facebook (FB).

MUHAMMAD Syahmi menerima Gold Play Button apabila saluran YouTube miliknya memperoleh lebih sejuta pengikut.

 

Dengan menggunakan dialog spontan dialek Kelantan tanpa sebarang skrip dalam program Drama Spontan yang dimuat naik di FB dan YouTube milik Muhammad Syahmi dalam masa yang singkat mereka sudah dikenali di seluruh negara.

Data yang dikumpul setakat jam 7 malam kelmarin, semua 14 episod Drama Spontan berkenaan mencatatkan 56.3 juta tontonan selepas dimuat naik kira-kira empat bulan lalu.

Jadi tidak hairanlah Muhammad Syahmi menerima Gold Play Button apabila saluran YouTube miliknya memperoleh lebih sejuta pengikut baru-baru ini sejak memulakannya pada empat tahun lalu.

Kini, selain Drama Spontan, lebih 200 video pendek sudah hasilkan dengan memiliki 1.76 juta langganan di saluran YouTube Muhammad Syahmi.

Muhammad Syahmi berkata, dia hanya bermula merakam dan menghasilkan video pendek bersama dua rakannya ketika masih belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 2016 dengan telefon pintar sebelum memuat naik di FB.

“Entah bagaimana, video itu tular sehingga mendapat tontonan lebih 300,000 dan sejak daripada itu saya nampak ada potensi dengan apa yang saya hasilkan.

SITI Nurul Atina (kanan) bangga adiknya Asif berjaya menempa nama dalam bidang lakonan.

 

“Sejak hari itu saya mula konsisten menghasilkan beberapa video pendek dengan menggunakan tema santai yang dekat dengan hati masyarakat namun memiliki mesej mendalam.

“Selepas itu, saya sudah tidak menang tangan dan membuat keputusan untuk berhenti daripada meneruskan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik untuk memberi tumpuan dalam penghasilan video pendek.

“Saya bersyukur kerana keluarga sangat memahami sehingga dapat buktikan ia boleh menjadi kerjaya untuk menyara keluarga,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kampung Gertak Kecupu di sini.

Menurutnya, pada tahun ini, dia membuat kelainan dengan menampilkan Asif dan Yoe sebagai watak utama dalam program Drama Spontan yang sudah masuk episod ke-14 sehingga menjadi fenomena di negara ini.

“Sejujurnya, saya sudah lama memiliki idea untuk menghasilkan video pendek itu namun tidak menemui pelakon utama yang sesuai sehingga saya berjumpa Asif dan Yoe.

“Biarpun serba kekurangan, saya nampak Asif memiliki aura tersendiri yang mampu menarik minat penonton kerana, apa saja yang dibuat akan mengundang tawa orang di sekelilingnya.

“Dengan menggunakan dialog spontan tanpa skrip, saya hanya memberi situasi saja dan segalanya saya serahkan kepada Asif dan tidak sangka ia menjadi.

SITI Fairuz bersyukur Yoe diberi peluang berlakon.

 

“Begitu juga dengan Yoe yang agak selamba dan sering mengeluarkan punch line yang tidak disangka menyebabkan penonton tidak kering gusi melihat telatahnya,” katanya.

Katanya, sejak kisah Asif dan Yoe tular di media sosial, mereka mula mendapat beberapa tawaran daripada produksi drama di beberapa stesen televisyen.

“Bagaimanapun, saya hanya menerima satu tawaran saja kerana mahu memberi fokus penghasilan video pendek di YouTube,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Muhammad Syahmi berkata, untuk masa panjang dia berhasrat untuk menghasilkan program untuk stesen televisyen.

“Bagaimanapun, buat masa ini saya akan fokus dengan apa yang sedang saya usahakan dengan mengeluarkan lebih banyak video pendek yang lebih segar dan berkualiti untuk penonton di luar sana,” katanya.

Sementara Asif yang ditemui berkata, dia gembira dapat berlakon dalam video yang pendek yang dihasilkan Muhammad Syahmi.

“Ya, gembira boleh berlakon dan dapat jumpa orang ramai,” katanya yang terkenal dengan trademark Tak Gura (Gurau) Mi.

Bagi Yoe, dia mengakui cukup selesa apabila diberi peluang untuk berlakon bersama Muhammad Syahmi dan Asif.

“Saya mula berlakon sebagai inspektor polis dalam Drama Spontan pada awal tahun ini.

“Saya bersyukur apabila orang ramai seronok menonton lakonan saya bersama Asif. Apapun dalam berlakon ni kena banyakkan bersabar dan bertenang, biarpun orang kata apa,” katanya.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber: HM

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*