Rita mimpi seseorang tunjuk kedudukan arwah Pitt

Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohd_helmi@mediaprima.com.my

PELAKON, Rita Rudaini, 43, terkilan kerana tidak sempat membelanja Pitt Hanif minum kopi sebagaimana yang dirancangnya sebaik penggambaran filem Coast Guard berakhir.

Rita berkata, seminggu sebelum pengarah itu ditemui lemas, Pitt atau nama sebenarnya Mohd Firdaus Mohamad Hanif, 40, menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp memintanya berbuat demikian.

“Disebabkan kami rapat, saya bercadang untuk membelanjanya di sebuah restoran di ibu kota. Saya masih tidak percaya dia pergi meninggalkan kami,” katanya ketika ditemui di rumah ibu arwah, Fauziah Nawi, 66, di Taman Melati, Setapak, Kuala Lumpur, malam tadi.

Katanya, pada malam Pitt dilaporkan hilang kelmarin, dia bermimpi menemui pengarah itu di Sungai Jelai, Kuala Lipis, Pahang.

“Dalam mimpi itu ada seseorang menunjukkan kedudukan arwah sebelum saya terjaga,” katanya yang mengenali Pitt tahun lalu apabila bekerjasama dalam drama Empat Penjuru dan Oh My Family.

Menurut Rita, dia mengetahui kehilangan dan penemuan mayat melalui rakan pelakon, Azhan Rani yang berada di sungai berkenaan bagi misi pencarian.

“Biarpun kami sebaya, saya memanggil Pitt sebagai abang kerana dia matang dan banyak memberi nasihat. Arwah memberitahu jika ada ‘job’ (tawaran lakonan) selepas ini, dia mahu saya membintangi karya arahannya,” katanya.

Katanya, sewaktu menerima maklumat kehilangan dia percaya Pitt akan ditemui kerana pengarah itu seorang yang kental dan meredah apa jua cabaran.

“Apabila mengetahui arwah meninggal dunia, saya hanya mampu menangis dan tidak percaya dengan kejadian,” katanya.

Rakan baik arwah, Azlan Komeng, 43, berkata, Pengarah Fotografi Coast Guard, Sham Mokhtar, 38, yang mengikuti arwah memancing memberitahu Pitt pada awalnya mampu menyelamatkan diri.

Dalam kejadian itu katanya, enjin bot dikendalikan tiba-tiba tidak berfungsi sebelum ia dibawa arus deras hingga merempuh tiang besi sebuah jambatan balak.

“Ketika itu Sham meminta Pitt terjun ke sungai tetapi arwah mahu mengawal bot terbabit. Selepas rempuhan berlaku, arwah sempat berpaut pada enjin (bot),” katanya.

Menurutnya, sebaik melepaskan pegangan arwah berenang sejauh 10 meter menuju ke tebing sungai sehinggalah dia tenggelam dan hilang.

Dia yang bekerjasama dengan arwah dalam telefilem Batu 120 tidak dapat melupakan gelak tawa Pitt yang sentiasa periang dan disiplin dalam kerja.

Katanya, dia tidak menyangka insiden itu berlaku sedangkan Pitt pernah memancing di sungai itu tiga kali.

Pelakon, Syafie Naswip berkata, dia ralat dengan pemergian arwah yang juga individu penting membawanya ke dunia seni tanah air.

“Arwah individu bertanggungjawab menguji bakat (saya) dalam filem Mukhsin pada 2006. Bagi saya dia bukan saja permata tetapi kekuatan diri ini,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*